pembekal kelapa palsu

Waspada Dengan Pembekal Kelapa Palsu

Saya seorang pengusaha santan segar sepenuh masa sejak 2018 yang lalu. Bekalan kelapa pada awalnya dari penduduk kampung sekitar daerah besut di Terengganu. Setelah beberapa bulan, perniagaan kami mula mendapat sambutan. Semakin hari bekalan kelapa kampung tidak dapat menampung penggunaan harian kami.

Kelapa Indonesia

Kesukaran untuk mendapatkan kelapa kampung memaksa kami untuk cuba menggunakan kelapa indonesia. Harga kelapa berubah – ubah, ada ketika sangat murah dan ada ketika meningkat sehingga hampir sekali ganda.

Faktor Kenaikan Harga Kelapa

Kenaikan harga kelapa disebabkan beberapa faktor antaranya, apabila permintaan tinggi seperti pada bulan puasa dan semakin hampir musim perayaan. Selain itu, faktor cuaca juga mempengaruhi kenaikan harga kelapa samada kelapa kampung atau kelapa indonesia.

Untuk kelapa kampung, apabila tiba musim hujan, akan menjadi masalah kepada pencari kelapa kerana sukar untuk memanjat kerana batang pokok licin. Ombak yang tinggi pada musim tengkujuh akan menyukarkan kapal dari indonesia untuk bergerak. Harga akan terus melonjak apabila tiba musim hujan dan banjir. Bagi pengusaha santan kelapa, kami sentiasa akan berusaha mendapatkan bekalan kelapa berkualiti pada harga terbaik.

Pemprosesan Santan Segar

Mendapat Panggilan Dari Pembekal Kelapa Yang Tidak Dikenali

Minggu lepas saya ada terima panggilan dari seorang pembekal kelapa dari perak yang berbangsa cina. Dia menawarkan kelapa kampung dan kelapa indonesia pada harga yang sangat murah, padahal sekarang tengah musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan >> 3 Jenis Mesin Ini Perlu Ada Untuk Memulakan Perniagaan Santan Kelapa

Jika ikutkan, harga kelapa indonesia yang saya beli dengan pembekal di Kota Bharu pada masa ini sekitar RM1600 satu tan, dan belian biji dia jual RM1.75 hingga 1.85 sebiji. Tetapi pembekal dari perak ini tawarkan RM1300 untuk satu tan dan RM1.40 jika ingin beli secara biji.

Sebelum ini memang saya pernah beli dengan pembekal kelapa indonesia Kota Bharu pada harga RM1.40 sebiji tetapi itu belum hujung tahun. Harga kelapa biasanya akan naik apabila menjelang hujung tahun disebabkan musim banjir, tengkujuh.

Oleh kerana harga yang ditawarkan boleh dikatakan musuk akal dan sangat murah, saya bersetuju untuk menempah satu tan kelapa indonesia dengan pembekal dari perak itu. Cuma masa tu, die minta saya masukkan dulu wang pendahuluan sebagai tanda setuju.

Bila saja dengar macam tu, saya terkejut juga sebab selama saya berniaga, belum pernah lagi order kelapa kena bayar dulu, walaupun deposit yang kecil. Biasanya pembekal akan hantar kelapa dulu dan barulah kita bayar secara tunai atau transfer ke akaun pembekal.

Pembekal tersebut mendakwa dia pernah ditipu oleh pelanggan dari kelantan, katanya apabila lori dalam perjalanan hantar kelapa tiba – tiba pelanggan cancel order dan menyebabkan pembekal kerugian duit minyak, tol, dan gaji pekerja. Kerana itulah beliau kenakan bayaran pendahuluan tanda setuju barulah kelapa dihantar.

Setelah bincang dengan team saya, kami bersetuju untuk buat bayaran pendahuluan yang dipinta iaitu sebanyak RM300. Setelah beliau hantar nombor akaun syarikat, saya terus berubah hati. Nama akaun syarikat tidak kelihatan seperti sebuah syarikat pembekal kelapa. Mungkin nama syarikat tidak perlu diambil kisah, tetapi saya kurang yakin.

Jadi saya terus google nama syarikat tersebut, tetapi tiada pula kaitannya dengan kelapa. Ikutkan pada pemikiran saya, jika nama syarikat tersebut ialah pembekal kelapa sekurang² nya mestilah ada mucul gambar kelapa atau yang berkaitan. Tetapi yang keluar gambar seperti judi online, walaupun nama syarikat tersebut tidak terpapar disitu.

Keraguan saya semakin bertambah kerana pembekal tersebut menghantar gambar kad pengenalan yang didakwa miliknya untuk yakinkan saya bahawa beliau tidak menipu. Kenapa beliau berani hantar gambar ic kepada pelanggan, sedangkan ic tidak boleh sewenang² kita beri kepada orang lain. Keberaniannya itu sebenarnya menambah keraguan saya.

Maaf la ye, saya tidak boleh tunjukkan gambar kad pengenalan yang dihantar kepada saya kerana bimbang jika disalahguna. Saya juga tidak dapat pastikan samada pembekal kelapa tersebut palsu atau benar. Tetapi perasaan saya mengatakan itu adalah pembekal kelapa palsu yang ingin menjerat mangsa dengan cara tersebut.

Saya batalkan tempahan dan meminta maaf, serta berterus terang bahawa saya kurang yakin dengan beliau. Alhamdulillah segalanya selesai dengan baik, dan saya kekal dengan pembekal kelapa dari Kota Bharu itu. Sebenarnya pembekal dari Kota Bharu itu juga berbangsa cina, tetapi beliau sendiri yang datang ke kedai saya dan menawarkan kelapa dan perkhidmatannya.

Nasihat saya, waspada lah dengan sesiapa sahaja yang datang menawarkan sesuatu produk atau perkhidmatan jika kita tidak kenal. Sikap berhati – hati mungkin akan menyelamatkan kita dari kerugian yang besar. Semak terlebih dahulu segalanya dengan terperinci dan dapatkan pendapat dari mereka yang lebih berpengalaman sebelum membuat apa – apa keputusan.

2 thoughts on “Waspada Dengan Pembekal Kelapa Palsu”

  1. Pingback: Kelebihan Dan Kekurangan Kelapa Indonesia Dalam Pemprosesan Santan Segar | Zul Muhammad

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *