Wanita Ini Cabut Sendiri 11 Batang Gigi

Seorang wanita mencabut sendiri 11 giginya selepas mendakwa tidak mampu mendapatkan rawatan doktor gigi di hospital kerajaan di United Kingdom (UK). Danielle Watts, 42, mencabut giginya sejak tiga tahun lalu selepas tidak menemui klinik pergigian kerajaan (Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan atau NHS) di tempat tinggalnya.

Wanita itu berkata, dia tidak mampu mendapatkan rawatan di klinik swasta dan ‘tidak lagi senyum’ selepas mencabut giginya. Danielle yang kini mempunyai tiga gigi di bahagian gusi atas berkata, dia tidak yakin dengan penampilannya.

“Gigi ini hanya terletak di dalam mulut tanpa sokongan kerana ia dengan mudah boleh tercabut. “Saya tidak akan senyum kerana hilang keyakinan dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit setiap hari,” katanya kepada BBC.

Katanya, dia juga menjadi paranoid kerana pertuturannya sukar difahami. “Kejadian berlaku selepas perkhidmatan klinik gigi di satu klinik NHS ditutup dan menyebabkan saya dan anak tiada tempat untuk dituju.

“Di mana-mana tempat saya pergi, mereka tidak lagi menerima pesakit NHS dan menawarkan saya untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta,” katanya.

Rawatan pergigian adalah satu daripada khidmat NHS, namun pesakit perlu mengeluarkan sedikit bayaran, tetapi ia lebih murah berbanding di klinik swasta. Rawatan kecemasan pergigian mengenakan yuran sebanyak 23.80 pound sterling (kira-kira RM135), menurut laman web NHS.

Terdapat tiga jenis rawatan dan bayaran paling tinggi dikenakan adalah RM135. Pesakit tidak perlu membayar caj rawatan untuk membuka jahitan, menghentikan pendarahan atau jika gigi palsu mereka perlu dibaiki.

Berdasarkan laman web NHS, rawatan pergigian di klinik NHS di UK adalah percuma untuk individu berusia 19 tahun ke bawah. Bagaimanapun, ia turut diberikan secara percuma untuk beberapa kategori individu seperti penganggur atau penerima bantuan sara hidup daripada kerajaan.

hmetro

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *