Ternyata Inilah Cara Bagaimana Vaksin Dihasilkan
INFO DAN TIPS,  KESIHATAN

Ternyata Inilah Cara Bagaimana Vaksin Dihasilkan

Sejak wabak Covid-19 melanda, negara – negara maju mula membuat kajian untuk menghasilkan Vaksin. Tempoh masa penghasilan vaksin bergantung kepada kepakaran sekumpulan pengusaha itu sendiri dan tahap kesukaran jenis virus yang dikaji.

Pada awal kajian mengenai vaksin untuk virus Covid-19, anggaran tempoh masa vaksin akan disiapkan sekitar 8 bulan. Seluruh dunia menunggu kemunculan vaksin tersebut dari negara – negara maju seperti China, Rusia, United Kingdom dan India.

Apakah Itu Vaksin ?

Vaksin mengandungi antigen khusus, samada diambil sebahagian atau keseluruhan virus atau bakteria yang hendak dijadikan vaksin. Virus tersebut akan dilemahkan menggunakan kaedah tertentu sehinggakan ia tidak lagi berupaya memudaratkan tubuh badan.

Proses tersebut dilakukan dalam kawalan yang sangat rapi, supaya penghasilan vaksin berjalan dengan lancar. Didalam vaksin adanya antigen dan bahan – bahan lain termasuk pengawet yang bertujuan untuk mengekalkan hayat vaksin itu sendiri.

Vaksin Bukan Untuk Membunuh Virus Atau Bakteria

Masih ramai yang salah faham berkenaan vaksin dan fungsinya terhadap tubuh badan. Mereka menganggap vaksin ini seperti ubat yang berfungsi untuk membunuh virus. Sebenarnya tidak, vaksin bertindak seolah – olah untuk memberitahu kepada sistem imuniti dalam badan supaya mengenali virus tersebut dan bersedia untuk melawan jika virus sebenar datang.

Vaksin boleh dikatakan sebagai penyamar kepada virus sebenar. Kandungan antigen dalam vaksin akan merangsang sistem imuniti badan supaya menghasilkan antibodi yang khusus untuk melawan jenis virus tersebut.

Jadi, yang menyembuhkan seseorang jika dijangkiti virus bukanlah vaksin tetapi sistem imuniti badan pesakit itu sendiri.

Apakah Fungsi Vaksin Terhadap Tubuh Badan ?

Terlebih dahulu kita harus faham bahawa setiap manusia mempunyai sistem imuniti sendiri sebagai pertahanan yang mampu melawan sesuatu benda asing seperti virus dan bakteria masuk kedalam badan. Namun, pertahanan tersebut harus diaktifkan supaya dapat mengesan lebih awal dan bersedia untuk melawan.

Saya beri contoh secara ringkas untuk mudah rakan – rakan faham. Jika virus tidak dikenali telah masuk kedalam badan, sistem imun badan tidak sedar kehadiran virus tersebut sehingga virus berjaya menguasai badan seseorang dan sistem imuniti itu sendiri tidak sempat berbuat apa – apa menyebabkan pesakit mendapat jangkitan.

Setelah jangkitan berlaku, pesakit perlu dirawat dengan segera sebelum bertambah parah. Pengambilan ubat dan antibiotik yang tepat mungkin akan membunuh atau melemahkan virus dan bakteria tersebut. Namun, jika sistem imuniti badan pesakit meningkat, ia pasti mampu melawan dan membunuh virus itu untuk kembali pulih.

Proses Penghasilan Vaksin Melibatkan Beberapa Peringkat

Pembiakan
Pembiakan organisma hidup yang digunakan dalam vaksin.

Pengasingan
Pengasingan organisma hidup daripada sel atau media pertumbuhan yang digunakan semasa langkah pembiakan.

Penulenan
Mengeluarkan semua bahan yang mungkin melekat pada organisma yang dikultur, atau memisahkan bahagian khusus daripada organisma untuk digunakan dalam vaksin.

Formulasi
Melibatkan pencampuran bahan yang telah ditulenkan ke dalam larutan sehingga ia mencapai kepekatan yang sesuai. Proses ini juga merangkumi penambahan komponen seperti pengawet, pelarut, adjuvant dan agen penstabil. Di peringkat akhir proses penghasilan, vaksin diisi ke dalam botol atau picagari dan dibungkus untuk dihantar ke fasiliti kesihatan.

Sebenarnya, Vaksin Virus Covid-19 sudah banyak dihasilkan oleh beberapa negara. Namun ianya perlu melalui beberapa ujian keselamatan dan keberkesanan terlebih dahulu. Vaksin akan dapat digunakan setelah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia, kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal Vaksin Covid-19 dengan syarikat dari Amerika Syarikat. Dikatakan pada masa ini hanya syarikat tersebut yang bersetuju untuk memberikan vaksin kepada Malaysia pada awal 2021.

Menurut sumber BHarian, Vaksin Covid-19 akan diberikan kepada 70 peratus rakyat secara percuma melibatkan golongan dewasa berumur lebih dari 18 tahun. Malaysia dijangka akan menerima Vaksin dari syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer, pada suku pertama 2021.

Sumber: Myhealth, BeritaRTM, Bharian

0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *