PERNIAGAAN

Kelebihan Dan Kekurangan Kelapa Indonesia Dalam Pemprosesan Santan Segar

Malaysia kaya dengan pelbagai jenis makanan, lauk pauk, kuih-muih dan pelbagai jenis pencuci mulut. Santan kelapa merupakan antara produk keperluan masyarakat di sini terutamanya bagi pemilik-pemilik restoran.

Permintaan santan segar sangat tinggi, keadaan ini menyebabkan bekalan kelapa tempatan tidak mampu menampung untuk keseluruhan.

Apabila menjelang perayaan, perusahaan santan kelapa antara perniagaan yang paling laris. Bekalan kelapa kampung yang tidak mencukupi memaksa pembekal mengambil kelapa indonesia untuk menampung permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

Namun, adakah kelapa import seperti dari indonesia dan taiwan sama dengan kelapa tempatan. Bagi peniaga santan kelapa yang masih baru, mereka biasanya takut untuk menggunakan kelapa indonesia kerana bimbang akan kualiti dan keuntungan terjejas.

Kekurangan Dan Kelebihan Menggunakan Kelapa Indonesia Untuk Peniaga Dalam Proses Menghasilkan Santan Segar

Kelapa Indonesia

Kelapa kampung merupakan kelapa yang menjadi pilihan utama pengusaha santan segar. Namun, jika bekalan tidak mencukupi, peniaga terpaksa juga mengambil kelapa indonesia.

Kelapa kampung paling berkualiti kerana buahnya baru dipetik dan masih segar menjadikan santan lebih pekat berbanding dengan perahan kelapa indonesia. Selain itu, rasanya juga dikatakan lebih berlemak dan manis.

Kelapa indonesia biasanya diambil dari pokok dalam usia buah yang belum cukup tua. Keadaan ini menyebabkan buah cepat rosak dan membusuk. Risiko buah rosak sangat tinggi berbanding dengan kelapa tempatan.

Tempoh masa yang agak lama untuk sampai di Malaysia juga merupakan penyebab kelapa menjadi rosak atau kualiti semakin berkurang.

Pemprosesan kelapa indonesia sedikit rumit kerana isi kelapa dibahagian belakang biasanya cepat rosak atau berlendir dan peniaga terpaksa membuang bahagian yang rosak tersebut. Jika tidak dibuang, boleh menyebabkan kualiti santan terjejas dan santan akan jadi cepat masam.

Isi Kelapa Indonesia Yang Rosak Bahagian Belakang

Bagi peniaga restoran dan kedai makan, mereka tidaklah begitu memilih samada santan segar dari kelapa kampung mahupun indonesia. Tetapi bagi peniaga kuih-muih, kualiti santan sangat diambil kira. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri sebagai pengusaha santan segar.

Artikel Berkaitan >> 3 Jenis Mesin Untuk Memulakan Perniagaan Santan Kelapa

Salah satu kelebihan kelapa indonesia ialah dari segi bekalan. Bekalan kelapa indonesia selalunya sangat banyak dan jarang putus. Walaupun kualiti tidak setanding dengan kelapa kampung, permintaan untuk kelapa indonesia tetap tinggi.

Harga kelapa indonesia biasanya lebih murah berbanding kelapa tempatan. Bagi pengusaha santan segar, selain kualiti, keuntungan juga menjadi suatu hal yang paling utama.

Tambahan pula, kelapa indonesia mengeluarkan santan lebih banyak berbanding kelapa tempatan walaupun kurang pekat. Tetapi bagi sesetengah kelapa indonesia, perahan santan ada juga yang pekat dan hampir setanding dengan kualiti kelapa tempatan. Itu mungkin bergantung nasib, jika dapat kelapa pada gred yang baik, santan juga sangat cantik.

Nasihat saya untuk peniaga baru, kualiti kelapa kampung memang tiada tandingan tetapi berapa lamakah anda boleh bertahan dengan hanya menggunakan kelapa kampung. Jika sudah ada pelanggan tetap seperti restoran dan pasaraya, bekalan kelapa mesti sentiasa cukup dan tidak boleh sesekali putus bekalan.

Kelapa indonesia sebenarnya juga mempunyai kualiti tersendiri, hampir sama juga dengan kelapa kampung. Cuma cara pemprosesan kena betul dan teliti untuk menghasilkan santan segar yang berkualiti. Isi kelapa yang rosak dan berlendir harus dibuang untuk mengelakkan santan dari jadi masam atau tidak tahan lama.

Kadang-kadang ia juga bergantung kepada pembekal kelapa, anda harus mendapatkan kelapa dari pembekal yang tepat untuk elak dari mendapat kelapa yang banyak rosak dan risiko kerugian.

Sesetengah pembekal kelapa indonesia, mereka mementingkan keuntungan melampau hinggakan kualiti tidak langsung diambil kira. Ada juga kelapa yang telah diasingkan mengikut gred A, B, C, dan harganya juga berbeza.

Ada juga pembekal yang sangat menjaga dari segi kualiti dan kepuasan pelanggan. Kelapa yang dihantar kepada pelanggan telah dipilih terlebih dahulu untuk mengurangi risiko kelapa rosak. Manakala kelapa yang rosak akan diganti semasa penghantaran seterusnya.

Jika peniaga risau akan kualiti jika menggunakan kelapa indonesia, saya cadangkan supaya anda membuat campuran antara kelapa kampung dengan kelapa indonesia semasa memproses. Contohnya, dalam 100biji kelapa indonesia, campurkan 10 ke 20 biji kelapa kampung, cara ini boleh tingkatkan kualiti santan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *