INFO DAN TIPS

Antara Sebab Kenapa Seseorang Itu Diganggu Jin

Jin adalah salah satu makhluk ciptaan Allah yang juga diberikan kelebihan yang tidak ada pada manusia. Diantara kelebihan jin adalah mereka mampu untuk mengubah bentuk asal mereka kepada apa sahaja bentuk yang diingini.

Makhluk jin sama seperti manusia. Mereka makan, minum, berpasangan, menambah zuriat keturunan, berkeluarga dan seterusnya bermasyarakat seperti kita. Selain itu, kelebihan jin adalah mereka dijadikan oleh Allah tidak berjasad seperti kita.

Ini menjadikan mereka dapat melihat kita sedangkan kita pula tidak mampu untuk melihat mereka. Dikalangan jin ada yang Islam, dan ada juga yang kafir. Yang Islam pula ada sesetengahnya terdiri dari kalangan jin-jin yang bersifat fasik dan munafik.

Golongan jin yang selalu menggangu manusia adalah terdiri dikalangan jin yang kafir, yang fasik dan munafik ini.

Pernahkah anda mendengar gangguan-gangguan jin seperti wanita yang disetubuhi jin, bayi dalam kandungan hilang secara tiba-tiba, kerasukan, dan sebagainya? Gangguan seperti ini sebenarnya banyak berlaku di dalam masyarakat.

Bahkan mungkin anda yang sedang membaca artikel saya ini pun pernah melaluinya. Paling kurang pun mungkin anda pernah menyasikan sendiri gangguan-gangguan jin berlaku dihadapan anda.

Apabila berlakunya gangguan jin seperti yang saya sebutkan di atas, ramai dikalangan kita yang pergi mendapatkan rawatan. Ada sesetengahnya mendapatkan rawatan dari perawat-perawat yang menggunakan kaedah yang dibenarkan syarak.

Dan tak kurang juga ada yang pergi mendapatkan rawatan dari bomoh, tukang tilik, tukang sihir, tukang tenung, dukun, pawang dan sebagainya. Walaupun kebiasaanya mereka ini juga menggunakan khidmat dan bantuan dari jin, ada sesetengah masyarakat yang lebih percayakan kepada golongan begini.

Tetapi, walau apa sekalipun dan kaedah bagaimana pun yang dipilih, kita semua masih belum pasti apakah punca atau apakah sebab golongan jin mengganggu manusia. Jadi dalam artikel saya kali ini, saya ingin kongsikan dengan anda 11 sebab mengapa jin mengganggu manusia.

1) Jin Jatuh Cinta Kepada Manusia

Sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran, iaitu surah al-A’raf ayat 27 yang bermaksud:

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan dari keduanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada keduanya ‘auratnya. Sesungguhnya ia (iblis/syaitan) dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka.Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.”

Ayat di atas menjadi dalil bahawa jin dapat melihat manusia sedangkan manusia tidak mampu untuk melihat jin. Selain itu, jin juga adalah makhluk yang dikurniakan nafsu syahwat oleh Allah.

Oleh kerana jin melihat kita, sedangkan kita tidak dapat melihat mereka, kita perlu berhati-hati. Berhati-hati dari sudut apa? Kita perlu berhati-hati agar jin tidak melihat aurat kita yang akan menjadikan mereka tertarik dengan kita.

Walaupun ada kes jin betina yang tertarik dengan manusia, fenomena jin tertarik dengan manusia lebih banyak berlaku dikalangan wanita.

Apabila sesorang manusia itu telah dicintai oleh jin, jin tersebut akan melakukan apa sahaja untuk memastikan yang mereka dapat memiliki dan menguasai manusia yang dicintainya. Jin akan cuba menghalangi manusia tersebut daripada bertemu dengan jodohnya.

Antara ciri-ciri seseorang yang telah dicintai oleh jin ialah dia sering bermimpi bertemu dengan seseorang yang tidak dikenalinya. Orang yang tidak dikenali itu akan datang berulang kali di dalam mimpinya.

2) Ada Perjanjian Nenek Moyang Dengan Jin

Ini juga adalah alasan mengapa jin mengganggu manusia. Mungkin kita tidak mengetahui, tetapi ada sesetengah orang-orang dulu yang membuat perjanjian dengan jin untuk membantu atau menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi.

Bahkan ada juga dari kalangan orang dulu yang membuat perjanjian dengan jin meminta kepada jin tersebut untuk menjaga seluruh keturunannya. Oleh kerana itu, jin yang memegang perjanjian tersebut akan mencari dan mengekori keturunan manusia tersebut.

Ada beberapa kes yang saya rawat, di mana jin yang berada di dalam badan pesakit mengakui bahawa dia masuk ke dalam badan manusia adalah dengan tujuan untuk menjaga manusia tersebut kerana ada perjanjian yang telah dibuat antara jin dengan keturunan manusia.

3) Menyakiti Jin Atau Mengganggu Kediamannya Tanpa Sengaja

Sebab yang seterusnya jin mengganggu manusia adalah kerana tempat tinggalnya telah diganggu oleh manusia tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Oleh kerana marah dengan perbuatan tersebut, maka jin yang diganggu itu akan masuk ke dalam manusia dan menyebabkan pelbagai masalah kepada manusia tersebut.

Sebab itu ada hadis di mana Rasulullah melarang umatnya daripada kencing di dalam lubang, iaitu hadis riwayat an-Nasai, no 34. Rasulullah melarang kerana lubang adalah tempat tinggal jin.

4) Keadaan Jiwa Yang Lemah Disebabkan Sedih Atau Kecewa Berlebihan

Sepertimana yang kita semua sedia maklum, jin juga bersama-sama dengan kita tinggal dibumi ciptaan Allah ini. Mereka ini boleh diibaratkan seperti virus di mana mereka berada dengan banyaknya disekeliling kita.

Jika virus akan menyerang manusia ketika tubuh badan dan daya ketahanan badan lemah, maka jin pula akan menyerang dan masuk ke dalam tubuh badan manusia apabila jiwa manusia tersebut di dalam keadaan lemah akibat perasaan sedih dan kecewa yang keterlaluan.

Apabila manusia telah dicerobohi oleh jin, maka jin akan membisikkan perasaan buruk ke dalam hati manusia yang lemah itu. Keadaan ini akan menjadikan manusia tersebut semakin bertambah tertekan, murung dan berputus-asa.

Bahkan dalam keadaan begini akan menyebabkan ada sesetengah dari manusia yang tidak mampu lagi menanggung tekanan yang dialaminya mengambil jalan membunuh diri.

Kerana itulah, Islam mengajar kita agar bersederhana di dalam banyak perkara, termasuklah apabila berada dalam situasi yang menjadikan seseorang itu sedih dan kecewa. Tidak dinafikan fitrah manusia akan mengalami perasaan tersebut, bahkan Nabi juga mengalaminya.

Nabi mengalami banyak peristiwa yang menyebabkan Baginda bersedih, antaranya apabila bapa saudaranya Abu Talib dan isterinya Siti Khadijah meninggal dunia. Baginda sangat bersedih, tetapi Baginda tidak terlalu mengikut perasaannya.

5) Tidak Mengamalkan Ajaran Agama

Sebab yang seterusnya jin mengganggu dan menggoda manusia adalah disebabkan manusia itu sendiri yang menjauhkan dirinya dari mengamalkan ajaran agama. Meninggalkan apa yang diperintahkan Allah dan melakukan apa yang dilarang-Nya.

Golongan manusia yang sebegini sangat mudah untuk diganggu dan digoda oleh jin-jin fasik dan juga kafir. Sehingga manusia itu sendiri sifatnya seolah-seolah sudah menyerupai jin.

Sebab itulah di dalam al-Quran surah al-Falaq, ayat 5 dan 6 yang bermaksud:

“…yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”

Semoga Allah melindungi kita semua.

6) Menyimpan Benda Pusaka, Azimat, Tangkal atau Patung

Jin bukan sahaja mengganggu manusia yang hidupnya jauh dari kehidupan beragama, bahkan mereka akan mengganggu orang yang menyimpan barang pusaka yang telah dikeramatkan, tangkal dan juga gambar di dalam rumahnya.

Ini kerana mereka yang melakukan kesyirikan kepada Allah dengan cara meminta pertolongan kepada selain Allah akan mudah diganggu oleh jin yang berdamping dengan barang-barang keramat ataupun tangkal yang disimpan tersebut.

7) Mengadakan Upacara Pemujaan Dan Menjamu

Sepertimana yang kita semua sedia maklum, orang-orang zaman dahulu, bahkan di zaman sekarang pun masih ada segolongan manusia mengadakan upacara pemujaan ataupun menjamu jin-jin yang dianggap menguasai atau menjaga sesuatu daerah.

Tujuannya adalah untuk meminta pertolongan ataupun perlindungan dari jin tersebut. Oleh sebab itu, jin yang menduduki tempat atau daerah tersebut akan selalu mengiringi manusia yang melakukan upacara pemujaan kepadanya.

Jin itu akan mempengaruhi pemikiran dan perasaan orang tersebut. Sehinggalah akhirnya, jin akan mengusai dan menentukan arah hidup manusia yang selalu meminta pertolongan kepadanya. Sebab itulah Allah melarang manusia meminta pertolongan kepada jin sepertimana firmannya di dalam Surah Jin, ayat 6 yang bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”

8) Mendatangi Makam dan Tempat Yang Dianggap Keramat

Salah satu perkara khurafat yang diamalkan oleh masyarakat kita, khususnya Melayu (saya mengatakan Melayu kerana saya orang Melayu Islam) ialah menziarahi kubur-kubur tertentu dengan meletakkan tanggapan bahawa kubur tersebut keramat.

Menziarahi kubur dengan niat untuk meminta pertolongan atau perlindungan adalah satu perbuatan yang sangat dimurkai Allah kerana ia termasuk perbuatan mensyirikkan Allah. Syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan Allah.

Apabila ada kubur yang dianggap keramat dan dilakukan pemujaan ke atasnya, maka jin yang mendiami dikawasan perkuburan tersebut akan mengikuti mereka yang melakukan perbuatan tersebut dan mengganggunya.

Jin akan mempengaruhi fikiran dan perasaan orang tersebut, sehingga manusia itu akan menyerahkan seluruh kehidupannya untuk dikawal oleh jin.

9) Melakukan Amalan Wirid Secara Melampau Dengan Niat Yang Keliru

Melakukan amalan soleh adalah satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Berwirid atau berzikir adalah termasuk di dalam amalan-amalan kebaikan yang diberikan pahala oleh Allah. Tetapi sekiranya dilakukan secara melampau, apatahlagi dengan niat yang tidak betul, boleh mendatangkan kesan buruk.

Mari kita hayati hadis di bawah:

“Sekelompok sahabat Nabi SAW bertanyakan kepada isteri-isteri Nabi tentang amalan Baginda yang tersembunyi. Kemudian sebahagian dari sahabat tersebut berkata, “Saya tidak akan berkahwin”. Yang lainnya pula berkata,”Saya tidak akan memakan daging”. Dan yang lain pula berkata,”Saya tidak akan tidur”. Bersebab dari ucapan mereka itu, Nabi SAW memuji Allah dan menyanjung-Nya. Kemudian Baginda bersabda,”Kenapa ada sekelompok orang yang mengatakan begini dan begitu! Aku bersolat dan ada waktunya aku tidur. Aku berpuasa dan adakalanya aku berbuka. Dan aku juga menikahi wanita-wanita. Barangsiapa yang menolak sunnahku maka dia bukan dari umatku” (HR al-Bukhari no. 5063, dan Muslim no 1401)

Dalam hadis di atas Nabi menegur para sahabat Baginda yang keterlaluan dalam beribadah. Dan Baginda menasihati mereka.

Jadi sama juga apabila anda melakukan zikir atau wirid. Yang saya maksudkan melampau ialah ada yang menetapkan syarat sehingga berbelas ribu zikir dalam sehari. Itu yang pertama. Yang kedua ada sesetengahnya yang berzikir sebanyak itu dengan niat untuk mendatangkan jin khadam.

Dan anda jangan terkejut sekiranya anda melakukan perkara tersebut, jin akan datang menyertai anda dan mengikuti ke mana anda pergi. Lebih bahaya ialah jin itu akan menyesatkan anda dalam keadaan anda tidak menyedarinya.

10) Menuntut Ilmu Yang Meragukan

Anda pernah tak lihat orang yang ditetak dengan parang yang tajam, tetapi tidak mampu untuk melukakan badannya? Orng yang berbaring di atas paku atau kaca tetapi tidak mampu melukakan badannya? Ataupun orang yang mencelupkan tangannya ke dalam air atau minyak panas, tetapi tidak melecur?

Pernah lihat? Anda kagum?

Biasanya ilmu-ilmu sebegini pastinya akan disertai dengan bantuan jin. Sebab ianya adalah perkara yang bercanggah dengan hukum alam. Akal tidak dapat menerima logiknya.

Jadi, mereka-mereka yang terlibat dengan ilmu sebegini, jin akan menggoda dan menyesatkan mereka. Menanam rasa hebat dalam diri mereka sehingga mereka merasakan apa yang dilakukan tidak menyalahi kehendak agama.

11) Dihantar Melalui Sihir, Santau & Sebagainya

Ini yang banyak berlaku. Mereka-mereka yang diganggu oleh jin akibat dihantar melalui sihir ataupun santau. Oleh kerana itulah Allah memperingatkan kepada kita supaya sentiasa memohon perlindungan kepada Allah.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia. (1) Yang Menguasai sekalian manusia. (2) Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. (3) Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. (4) Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (5) (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia. / (6)” (Surah an-Nas ayat 1 hingga 6)

Semoga Allah melindungi kita dari gangguan makhluk-Nya dari golongan jin.

Artikel ini diambil dari group whatsapp, (Segala isi kandungan tidak semestinya tepat).

Sumber: Pusat Rawatan Nur Qhalifah ,foto

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *