PERNIAGAAN

3 Jenis Mesin Untuk Memulakan Perniagaan Santan Kelapa

3 Jenis Mesin Untuk Memulakan Perniagaan Santan Kelapa

Santan kelapa merupakan satu produk keperluan rakyat Malaysia terutamanya dikalangan orang melayu yang sukakan makanan berlemak. Santan biasa digunakan dalam masakan seperti nasi lemak, gulai ayam dan daging, kuih – muih dan pelbagai lagi.

Ada juga yang menggunakan santan untuk membuat aiskrim, air cendol dan bermacam pencuci mulut serta lauk – pauk lain yang memerlukan santan sebagai bahan utama masakan. Kerana itulah santan sangat penting dan merupakan bahan keperluan masyarakat di Malaysia.

Disini saya akan kongsikan perkara asas yang perlu anda tahu dalam memulakan perniagaan santan kelapa. Beberapa tips yang akan saya kongsikan ini tidaklah begitu detail tetapi cukup untuk usahawan yang baru ingin berjinak – jinak dalam perusahaan ini.

Pertama sekali MODAL, modal paling minimun perlu anda sediakan sekitar 5 ribu ringgit tidak termasuk kedai. Jumlah ini hanya untuk proses penyediaan alatan dan sedikit modal untuk ambil stok kelapa sebagai permulaan.

3 Jenis Mesin Untuk Memulakan Perniagaan Santan Kelapa
Mesin Pemarut Kelapa Biasa

Saya gunakan bahasa mudah untuk anda faham. Tiga jenis mesin diperlukan untuk memulakan bisnes santan ini ialah mesin perah santan, mesin parut isi kelapa yang siap dikopek, dan mesin parut kelapa biasa. Mesin parut kelapa biasa ialah mesin yang ada tombol berduri biasa digunakan untuk parut kelapa muda dan untuk dapatkan bahagian putih sahaja.

Ketiga – tiga mesin ini perlu ada untuk anda memulakan perniagaan santan dengan segera. Alatan lain termasuk penapis santan, besin, bakul, sodek atau sudip kayu dan juga plastik pembungkusan.

Pengambilan Stok Kelapa Dari Pembekal Kelapa

Seterusnya, tibalah masa untuk anda dapatkan stok kelapa permulaan. Saya sarankan sebagai permulaan, anda harus mencari kelapa kampung sekurang – kurangnya 50 ke 100 biji. Harga pasaran kelapa ada turun naiknya juga, anda harus tahu harga pasaran kelapa samada kelapa kampung atau kelapa indonesia.

Sebelum itu, anda harus tahu harga pasaran santan kelapa sekitar kawasan anda supaya mudah untuk menetapkan margin keuntungan bersesuaian dengan harga modal kelapa. Pengiraan mudah untuk sekilo santan bersamaan dengan 4 biji kelapa tua bersaiz sederhana.

Jika modal kelapa sebiji RM1.70 bermakna anda perlukan RM6.80 untuk dapatkan sekilo santan. Maka senang untuk anda kirakan keuntungan dan menetapkan harga santan yang sepatutnya.

Berbalik kepada jenis mesin tadi, nasihat saya untuk permulaan dengan modal kecil, carilah mesin pemerah santan yang terpakai. Harga mesin pemerah santan terpakai sekitar 2500 ringgit sahaja dan jika bernasib baik boleh dapat lebih murah dari itu. Anda boleh cari di dalam laman web mudah.my atau bertanya di media sosial.

Mesin Pemarut Bravo

Manakala mesin pemarut kelapa jenis BRAVO yang baru harganya sekitar RM1600 sahaja. Mesin pemarut jenis tombol berduri pula jauh lebih murah, harganya sekitar RM150 sahaja untuk jenis dan jenama biasa. Jadi, anggaran jumlah untuk ketiga – tiga mesin ini berjumlah sekitar RM4250 sahaja.

Rahsia Santan Berkualiti Dan Tahan Lama

Penghasilan santan berkualiti sangat penting untuk menarik pelanggan terutamanya dikalangan pemilik restoran, pengusaha katering dan kantin. Untuk dapatkan pelanggan untuk kali pertama mungkin tidaklah begitu sukar, namun untuk mengakalkan pelanggan sedia ada akan menjadi sukar jika kualiti tidak dijaga dan ditambah baik.

Melalui pengalaman saya dalam bidang pemprosesan santan, keaslian dan kebersihan santan itu sangat memainkan peranan dalam penghasilan santan berkualiti. Jangan sesekali campur air atau bahan lain, kekalkan kepekatan santan asli, pati santan. Gunakan penapis halus untuk tapisan kedua supaya habuk kelapa dapat disingkirkan sebanyak mungkin dari santan.

Untuk santan tahan lama, pastikan isi kelapa dibuang bahagian rosak terlebih dahulu [jika ada] sebelum dibasuh dan diparut. Bahagian rosak biasanya berlaku akibat kelapa yang terlalu lama melebihi seminggu selepas dibuang sabut. Kelapa yang muda lebih cepat rosak berbanding kelapa tua, dan bahagian belakang isi selalunya akan lembik dan masam.

Mungkin ada pengusaha santan kelapa yang tidak ambil kisah berkenaan isi kelapa yang sedikit rosak, tetapi jika bahagian tersebut tidak dibuang akan menyebabkan santan cepat masam dan basi. Untuk santan yang berkualiti, tempoh untuk santan menjadi basi boleh melebihi 2 ke 3 jam pada suhu bilik.

Ada sesetengah pengusaha santan menggunakan garam untuk memastikan santan mereka tahan lama. Secubik garam dicampur kedalam santan semasa pembungkusan atau sebelumnya. Tetapi cara ini saya tidak sarankan kerana akan menambah rasa masin didalam masakan dan akhirnya boleh menyebabkan pelanggan mengadu.

Gunakan freezer atau tong berisi ais untuk penyimpanan santan supaya santan sentiasa segar. Santan yang dibekukan boleh bertahan dalam tempoh yang lama sehingga seminggu atau lebih.

Maka setakat ini sahaja perkongsian ilmu perniagaan santan berdasarkan pengalaman saya sendiri yang sehingga kini masih meneruskan perniagaan santan kelapa yang diberi nama Santan HD.

sumber foto : google/shopee

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *